Senyumlah Selagi Terdaya

Senyuman itu rahsia lukisan hati...
Senyuman merupakan satu sedekah...

Terima Kasih...

Selamat Datang ke Blog yusshafiee...

Semoga Ukhwah yang Terjalin akan Berkekalan Untuk Selamanya...

~SITUASI 16 : Sediada atau Sedia ada~

Sunday, 20 February 2011

Salam satu Malaysia..

Hari ini saya ingin berkongsi sedikit ilmu dengan anda sekalian.
Semasa pulang daripada mendengar seminar di Auditorium Utama (UPSI) saya ternampak papan tanda yang mempunyai kesalahan ejaan. Saya terus mengambil gambar papan tanda tersebut.

Papan Tanda (Sediada)
Perkataan 'Sedia' dan 'Ada' hendaklah dieja terpisah. Perkataan 'Sedia ada' membawa maksud memang ada, telah ada, terdapat, wujud, sedianya, tersedia dan lain-lain lagi. Dalam papan tanda tersebut, ia menyuruh atau menyeru manusia supaya melalui laluan yang telah disediakan dan jangan memijak kawasan larangan.

~SITUASI 15 : Anu dan Bela~

Saturday, 19 February 2011

Salam Sejahtera semua...
Saya harapkamu semua dalam keadaan sihat dan dirahmati selalu.
Hari ini saya ingin berkongsi cerita mengenai "Anu dan Bela". 
Mesti kamu semua terfikir-fikir apakah yang ingin disampaikan oleh saya kan?
Sesiapa yang memikirkan perkara bukan-bukan, pastinya maksudnya ke arah yang negatif.
Sebenarnya situasi ini berlaku semasa saya sedang bersembang-sembang dengan 'housemate' rumah saya. 
Dalam perbualan saya dengannya, dia bertanya kepada saya bagaimana cara hendak 'anu' komputer ribanya yang rosak. Pada mulanya saya agal tercengang-cengang. 'Anu'??? Apa tu? saya bertanya kembali kepadanya. Dia menjawab lagi 'Bela' tahu tak??'Bela"?? 
Kemudian dia ketawa dengan kuatnya dan saya tanya kenapa ketawakan saya?
Dia menjawab, mesti saya sedang fikir yang bukan-bukan. Saya memberitahu kepadanya bahawa saya tak faham apa yang diberitahu olehnya tadi. 
Kemudian dia menjelaskan 'Anu dan Bela' adalah cara hendak memperbaik sesuatu. Seperti perbaik kipas, radio, telefon dan sebagainya.
Ooo...baru saya faham. Kemudian saya ketawa. 


Kamus Dewan Edisi Keempat
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, 'Anu' bermaksud  (orang, benda, dll) yg tidak disebut namanya (dgn disengajakan, kerana terlupa, dsb): si ~ nak datang; dgn hajat ~; 2. (Mat) kuantiti tertentu yg belum diketahui nilai­nya. Manakala 'Bela' pula membawa maksud (béla); mencari ~ = mengambil ~ = menuntut ~ menuntut balas (dgn cara membunuh pembunuh, memukul orang yg telah memukul orang lain, dll); membela 1. membunuh diri utk ikut mati: bersama-sama di atas lorong itu ialah mayat isteri-isteri yg telah ~ kematian suami mereka; 2. membalas membunuh dll: mereka bermuafakat hendak ~ kematian ayah mereka; 3. melindungi, menyelamatkan, mempertahankan: aku ingin melihat anak aku menjadi doktor atau peguam supaya dapat ~ nasib orang miskin spt aku; jikalau mahkota ini tiada dibuangkan, tiadalah patik semua dapat ~ kenaikan ini; tradisi ~ rakyat; ~ diri mempertahankan diri (drpd tuduhan, dakwaan, dsb); terbela dapat dibela (dilindungi, diselamatkan, dipertahankan): nasib bangsa Melayu tidak ~ pd zaman penjajahan; pembelaan perihal membela: si miskin tetap menderita tanpa ~ yg sewajarnya; pembela orang yg membela; ~ uri pemain terakhir dlm permainan gasing.

~SITUASI 14 : Pengaruh Bahasa Indonesia ~

Friday, 18 February 2011

Kini, pengaruh media massa terutamanya pengaruh 'Drama Indonesia' semakin menjadi-jadi di Malaysia. Akibat daripada pengaruh drama Indonesia, kanak-kanak terutamanya mudah terikut-ikut dengan dialek Indonesia sehingga terbawa-bawa dalam percakapan sehari-harian.
Sekadar Gambar Hiasan


Kadang-kadang, kanak-kanak dan orang dewasa terikut-ikut dengan dialek dan bahasa Indonesia. Antara perkataan yang sering menjadi sebutan mereka ialah:

Bahasa Indonesia                                                Bahasa Melayu

Ngak                                                                       Tidak/Tidak mahu
Ibu                                                                          Puan
Bilang                                                                      Berkata/cakap
Omong-omong                                                        Bercakap
kakek                                                                      kakak/abang


~SITUASI 13 : Pasar Tani atau Pasar Seni ~

Saturday, 12 February 2011

Pintu Masuk Ke Pasar Seni

Assalamualaikum...
Salam satu Malaysia...

Hari ini saya hendak berkongsi sedikit info mengenai "Pasar Tani dan Pasar seni". 
Pada dua hari yang lepas, kawan serumah hendak pergi KLCC di Kuala Lumpur. Memandangkan dia tidak pernah pergi berseorangan ke Kuala Lumpur, dia telah bertanya kepada kawan sebiliknya cara hendak pergi ke Kuala Lumpur. Kawan sebiliknya juga tidak tahu cara hendak pergi ke Kuala Lumpur lalu dia bertanya kepada saya.

Masnita : Awak tahu tak macam mana hendak ke Kuala Lumpur?
Yuss : Tahu, awak naik bas SKS-KL dan turun di Pasar Seni.
Masnita : Apa? Pasar Tani?
Yuss : Bukan Pasar Tani, Pasar Seni la Mas. 
Masnita : Mas ingatkan Pasar Tani. Ok, terima kasih.

Memandangkan dia baru semester satu, saya merasakan dia tidak tahu bagaimana hendak ke Kuala Lumpur. 
Bercakap mengenai Pasar Seni dan Pasar Tani, baru saya teringat kisah disebalik nama Pasar Seni. Pasar Seni merupakan Pasar Budaya yang terletak disekitar bandar raya Kuala Lumpur. Lokasinya terletak berhampiran dengan  Sungai Klang iaitu berdekatan dengan bangunan Dayabumi. untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Pasar Seni, anda boleh klik disini http://ms.wikipedia.org/wiki/Pasar_Seni

Manakala Pasar Tani pula merujuk kepada pasar yang khusus menjual barang-barang hasil pertanian seperti sayur-sayuran, ayam dan daging segar. Pasar tani berkonsepkan jualan langsung, di mana petani atau penternak berpeluang menjual barangan mereka secara langsung kepada orang ramai tanpa melalui orang tengah / pemborong. Dengan itu pada kebiasaannya harga yang ditawarkan adalah lebih murah berbanding harga di pasar biasa. Pasar tani biasanya diadakan secara mingguan, dan pada kebiasaannya pada hujung minggu pada waktu pagi.

Pasar Tani.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pasar tani, anda boleh klik disini http://ms.wikipedia.org/wiki/Pasar_tani.

Sekian,
Wassalam.


~SITUASI 12 : Nasi Goreng atau Goreng Nasi~

 Nasi Goreng

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Hari ini saya hendak menceritakan mengenai penggunaan perkataan yang betul. Ketika hendak keluar membeli makanan untuk makan malam, seorang kawan saya telah memesan sebungkus nasi goreng. Saya bertanya kepadanya nasi goreng apa yang dia mahu, lalu dia menjawab "Goreng Nasi Kampung". Disebabkan dia bukannya mangambil kursus Pendidikan Bahasa Melayu, saya hanya mengangguk dan bersetuju untuk membeli nasi goreng yang dipesan olehnya. 

Sebenarnya dalam bahasa Melayu terdapat hukum D-M, hukum D-M ialah peraturan menyusun kata nama majmuk dan ayat yang mendahulukan unsur yang diterangkan (dringkaskan sebagai D) dan mengemudian kata sifat yang yang menerangkan (diringkaskan sebagai M). Istilah hukum D-M diperkenalkan oleh Prof. St. Takdir Alisjahbana dalam bukunya iaitu Tatabahasa Baru Melayu Indonesia

Dalam kesalah di atas iaitu goreng nasi, goreng membawa maksud sedang melakukan sesuatu perbuatan iaitu menggoreng dan nasi ialah merupakan kata nama. Sepatutnya sebutan yang betul adalah "Nasi Goreng" . Terdapat banyak kesalahan yang biasa berlaku, khususnya dalam kalangan orang yang bersikap keinggerisan, disebabkan oleh kekeliruan antara susunan kata nama majmuk bahasa Melayu dengan kata nama majmuk bahasa Inggeris. Sebilangan kesalahan yang sering berlaku adalah seperti berikut: 


Kesalahan
Padanan bahasa Inggeris
Pembetulan
dalam lain perkataan
in other words
dengan kata-kata lain
lain-lain perkara
others matters
perkara-perkara lain
Minah Restoran
Minah Restaurant
Restoren Minah
Dunlop tayar
Dunlop tyre
tayar dunlop
goreng pisang
fried banana
pisang goreng
cili sos
chilli sauce
sos cili  

Contoh Kesalahan Hukum D-M.

Sekian,
Wassalam.

~SITUASI 11 : Makna Stilistik ~

Friday, 11 February 2011

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua.

Hari ini saya hendak berkongsi sedikit ilmu mengenai makna stilistik. Mungkin ramai yang baru mengetahui atau mendengar perkataan 'stilistik'. Dalam kursus BML 3083 iaitu Semantik dan Pragmatik, saya telah belajar mengenai makna stilistik. Makna stilistik merujuk kepada situasi sosial di mana sesuatu ujaran itu berlaku. Ujaran penutur dan pendengar dapat menentukan bunyi atau kata yang dilafazkan. Daripada makna stlistik ini, kita dapat menentukan asal-usul atau kedudukan geografis penutur, hubungan sosial antara penutur dan pendengar, kedudukan status mereka atau pun kita dapat mengetahui bahasa yang digunakan itu adakah loghat, dialek atau bahasa baku.

Pertama : Fitur atau ciri tetap stilistik boleh dilihat daripada bahasa yang dituturkan oleh individu itu, dialek yang digunakan dan tempoh masa yang dituturkan.

Kedua : Wacana yang dibahagikan kepada dua bentuk iaitu media (samada yang dituturkan, ditulis dan sebagainya) dan penglibatan (dialog atau monolog).

Ketiga : Fitur sementara stilistik yang dipecahkan kepada laras ( bahasa undang-undang, sains, perubatan), status (bahasa diraja, slanga dan jargona), dan modalitas ( bahasa syarahan, berjenaka, ceramah dan sebagainya).

Konteks memainkan peranan penting dalam perbualan antara penutur dengan pendengar. Dialek, slanga, jargona atau status seseorang dapat menentukan siapa orang itu atau siapa orang ini. Contohnya ayat ini:  " Hoi, mangkuk hayun! Berambuslah dari sini. Benci sungguh aku melihat muka kau!". Dalam konteks ini, kita mestilah boleh membuat kesimpulan terhadap penutur bahawa penutur itu seorang yang pemarah, tidak penyabar, perungus atau mungkin kita boleh memastikan status seseorang itu.

Namun penilaian kita berbeza apabila terhadap ujaran yang positif. Contoh: "Rasalah masakan yang dimasak oleh ibu saya." Dalam konteks ini kita boleh membuat kesimpulan terhadap penutur bahawa penutur seorang yang baik hati dan pemurah. Jadi penggunaan bahasa ketika berkomunikasi dapat menentukan siapa penuturnya, status dan latar belakang penutur, loghat, aksen (tekanan suara pada kata atau suku kata), dialek, pangkat dan sebagainya yang mampu mencerminkan kedudukan dalam masyarakat, keluarga baik-baik, berstatus tinggi dan berpelajaran tinggi. 

Sekian..
Wassalam.

~SITUASI 10 : Peribahasa Melayu~

Thursday, 10 February 2011




Salam sejahtera semua..
Apa khabar??
Saya harap semuanya sihat dan ceria selalu...
Hari ini saya hendak menceritakan mengenai "Peribahasa Melayu". 
Seorang kawan saya telah bertanya kepada saya mengenai perbezaan Peribahasa Melayu, Bidalan dan Perumpamaan.
Antara perbualan saya dengan kawan saya:

Wani : Kak Yus, saya nak tanya sikit boleh?
Yuss : Apa dia Wani? Tanyalah...
Wani : Saya keliru sebenarnya, peribahasa, bidalan, perumpamaan dan kiasan tu sama ke maksudnya?
Yuss : Owhh...tak sama. Nanti saya terangkan kepada Wani yea.
Wani : Terima kasih.

Yuss : Sama-sama Wani.

Peribahasa menurut kamus dewan edisi keempat, peribahasa merupakan ayat atau kelompok kata yang mempunyai susunan yang tetap dan mengandungi pengertian yang tertentu; bidal, pepatah: pegangan mereka yang teguh kepada peribahasa " biar mati anak, jangan mati adat" , sudah cukup menerangkan kebudayaan mereka. Contoh peribahasa yang lain ialah, "Ayam baru belajar berkokok" bermaksud baru cukup umur dan " Ayam tak patuk, itik tak sudu" yang bermaksud keadaan orang yang hina dalam masyarakat.

Gambar Sekadar Hiasan

Manakala menurut, Zaba pula peribahasa ialah susunan kata yang pendek dengan makna yang luas, mengandungi kebenaran, sedap didengar dan bijak perkataannya.

Peribahasa tradisi merujuk kepada peribahasa yang digunakan dalam pertuturan sehari-harian atau secara bercetak sebelum tarikh kemerdekaan. Peribahasa moden pula merujuk yang dicipta selepas tarikh tersebut. Peribahasa merupakan sabahagian daripada bahasa kiasan dalam budaya Melayu.Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai peribahasa, klik pada link http://ms.wikipedia.org/wiki/Peribahasa

Manakala bidalan pula ialah susunan kata-kata yang digunakan umum dalam masyarakat melayu. Di dalam bidalan terkandung perbandingan, teladan dan pengajaran. Contoh bidalan seperti "jangan bawa resmi jagung, semakin berisi semakin tegak" yang membawa maksud semakin kaya semakin sombong dan angkuh. 

 Gambar Sekadar Hiasan

Perumpamaan pula dapat didefinisikan sebagai suatu susunan kata-kata yang indah, ringkas dan kemas serta mempunyai maksud yang tersirat. Perumpamaan juga tergolong dalam peribahasa berlapis iaitu mempunyai perbandingan secara terang-terangan dan secara tidak terang-terangan. 
Contoh perumpamaan yang menyebut perbandingan ialah menggunakan perkataan-perkataan yang tertentu seperti bak, bagai, umpama, laksana, seperti, ibarat dan sebagainya. 
Antara contoh perumpamaan yang menyebut perbandingan ialah " Bagai tanduk bersendi gading" yang membawa maksud peri rupa orang yang sama cantik seperti sepasang pengantin baru. Contoh yang lain " Seperti gergaji dua mata" yang bermaksud orang yang mendapat manfaat daripada dua pihak yang bergaduh dengan berpura-pura baik dengan kedua-duanya. 

Gambar Sekadar Hiasan

Manakala perumpamaan yang tidak menggunakan kata penunjuk kebiasaannya berkaitan dengan pelbagai perkara seperti persaudaraan, hati dan pendirian, usaha dan sebagainya. Contohnya:

" Potong hidung, rosak muka" yang membawa maksud kerana merosakkan nama baik keluarga, kita sendiri turut mendapat malu. " Bodoh-bodoh sepat, tidak makan pancing emas" yang membawa maksud walaupun seseorang itu bodoh, namun dia juga tahu untuk memilih yang terbaik. 


Gambar Sekadar Hiasan

Begitulah sedikit sebanyak ilmu yang dapat saya kongsi bersama-sama kawan saya mengenai peribahasa Melayu. Saya berharap generasi pada hari ini tidak melupakan peribahasa Melayu dalam kehidupan sehari-harian. Peribahasa merupakan kata-kata orang zaman dahulu dalam menyampaikan nasihat dan teguran kepada keluarga dan masyarakat. 

Sekian,
Wassalam.